Saya selaku Dekan Pusat Pembelajaran Bahasa (PPB), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan serta semua pihak yang terlibat yang telah bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan penganjuran kali ini. Usaha ini amat bermakna kerana ia seiring dengan aspirasi Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan yang bertemakan Bahasa Kebangsaan Citra Madani. Sesungguhnya, kerjasama erat ini merupakan wadah terbaik untuk terus memperkukuh kedudukan bahasa kebangsaan, sekali gus menjadi lambang jati diri bangsa Malaysia yang berdaulat.
Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara adalah tunjang utama yang mengikat rakyat pelbagai kaum di Malaysia. Keutuhan bahasa kebangsaan bukan sahaja mencerminkan identiti bangsa, malah menjadi asas penting dalam membina keharmonian, perpaduan, dan kesejahteraan negara. Saya percaya bahawa kecintaan terhadap bahasa Melayu yang ditanam sejak di bangku sekolah akan melahirkan generasi muda yang berjiwa besar, berdisiplin, dan bertanggungjawab sebagai warganegara Malaysia.
Akhir kata, saya mendoakan agar Pusat Pembelajaran Bahasa akan terus berkembang maju dan sentiasa berperanan aktif dalam memperjuangkan serta memperkasa martabat bahasa kebangsaan pada setiap peringkat.