Skip to main content

Aluan Pengarah KDBK 2025

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, Program Dekad Bahasa Kebangsaan (2020–2030) ialah inisiatif strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu di Malaysia. Sehubungan itu, Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan (KDBK) 2025 dianjurkan sebagai platform untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu serta menyemarakkan rasa cinta terhadap bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar UTeM melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dirancang.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua Jawatankuasa Pelaksana KDBK 2025, khususnya Pusat Pembelajaran Bahasa, atas komitmen tinggi dalam merancang dan menjayakan karnival. Ucapan terima kasih juga dirakamkan kepada Penerbit Universiti dan Perpustakaan Laman Hikmah atas jalinan kerjasama yang dipersetujui bagi memeriahkan karnival. Penghargaan turut diberikan kepada para pelajar UTeM yang terlibat sebagai AJK, sukarelawan dan peserta dalam menjayakan perjalanan karnival ini.

Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan ditujukan kepada rakan kerjasama dan penaja, iaitu Technocraft Fabric, RHB Bank Cawangan Malim Jaya, Perzim serta Eya Cake kerana turut serta dalam penganjuran KDBK 2025. Kepada pengurusan tertinggi UTeM, diucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kelulusan dan sokongan penuh terhadap penganjuran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2025.

Akhir kata, semoga penganjuran Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 serta usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu ini memberikan manfaat kepada seluruh warga UTeM. Cintailah bahasa kita.

Nurhidayah Abdul Bareed

Pengarah
Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan 2025